Isnin, 15 Mac 2010

lee chong wei catat kemenangan edisi ke 100 all england


BIRMINGHAM, England - Datuk Lee Chong Wei muncul perseorangan kedua Malaysia dalam tempoh 44 tahun berjaya merangkul kejuaraan badminton berprestij, All England di Birmingham semalam.

Jika pada 2003, Muhammad Hafiz Hashim menamatkan penantian 37 tahun Malaysia, kemenangan Chong Wei kali ini pula istimewa kerana ia diraih ketika kejohanan badminton tertua di dunia itu menyambut ulang tahun ke-100.

Kepuasan terpancar di wajah Chong Wei sejurus disahkan selaku juara buat kali pertama, apabila dia mencium gelanggang sebaik tamat perlawanan sebelum mendakap jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Bagi Misbun pula, ini adalah kejayaan peribadi keduanya membawa pulang kejuaraan All England selaku jurulatih selepas turut bertanggungjawab membimbing Hafiz pada 2003.

"Kemenangan ini belum melengkapkan karier Chong Wei tetapi ia meningkatkan moralnya kerana sebagai pemain No. 1 dunia akhirnya Chong Wei memiliki satu kejuaraan besar.

"Bagaimanapun pada saya Chong Wei seorang pemain yang amat luar biasa, tidak ramai yang boleh memenangi tiga kejuaraan berturut-turut. Dia muncul juara di Terbuka Korea, kemudian Malaysia dan kini All England,'' kata Misbun ketika dihubungi di Birmingham.

Walaupun impian untuk menentang musuh ketat, Lin Dan di final tidak kesampaian, namun Chong Wei tetap tidak diberi laluan mudah oleh Kenichi Tago apabila dipaksa berhempas pulas oleh pemain muda Jepun itu sebelum menang 21-19, 21-19.

Jaguh No. 1 dunia itu menjadi pemain Malaysia kelima berjaya merangkul gelaran perseorangan All England selepas Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong, Tan Aik Huang dan Hafiz.

Koo Kien Keat-Tan Boong Heong merupakan pemain Malaysia terakhir menjuarai gelaran prestij ini dalam saingan beregu lelaki pada 2007.

Dalam perlawanan semalam, Tago mencemaskan Chong Wei apabila mendahului saingan sejak awal sehingga kedudukan 11-15, sebelum dikejar Chong Wei 15-15.

Walaupun kurang pengalaman dan skil, namun Tago, 20, terlalu liat untuk ditewaskan Chong Wei apabila memaksa pemain negara itu memegang empat mata set pada kedudukan 20-16, 20-17, 20-18 dan 20-19, sebelum akhirnya menang 21-19.

Aksi Chong Wei pada awal set kedua lebih meyakinkan apabila dia mendahului dari awal saingan, namun kesilapan yang kerap dilakukan, termasuk sering terikut-ikut permainan rali lawan menyebabkan saingan terikat 11-11, 14-14 dan 15-15.

Seperti set pertama, Tago liat untuk dijinakkan apabila memaksa Chong Wei memegang tiga mata kemenangan sebelum tunduk 19-21 selepas membiarkan saja pukulan Chong Wei yang disangka terkeluar.

Sementara itu, kejohanan All England kali ini menyaksikan banyak kejutan, bermula dengan kejayaan pemain Denmark dan juara 2008, Tine Rasmussen merampas kejuaraan perseorangan wanita dengan menumbangkan pemain No. 1 dunia dan penyandang juara, Wang Yihan 21-14, 18-21, 21-19.

Terdahulu pasangan bukan pilihan dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei mengejutkan pasangan No. 1 dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir 21-18, 23-25, 21-18 untuk muncul juara beregu campuran.

sekalung taniah diucapkan kepada lee chong wei yang bersama mencipta sejarah menjuarai kejohanan all england edisi ke 100, 1 lagi sejarah di cipta oleh anak malaysia, malaysia boleh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan